Nasional Utama

Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir penghargaan sempena HAWANA 2026

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 kepada seluruh pengamal media di negara ini.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Baginda berdua merakamkan penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan berintegriti kepada masyarakat.

Menurut hantaran itu, institusi media memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat, menyemai semangat patriotisme serta menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Baginda turut menzahirkan harapan agar pengamal media terus mengekalkan etika kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab seiring perkembangan teknologi serta cabaran dunia komunikasi semasa.

“Paduka Baginda turut mendoakan agar semua wartawan dan pengamal media sentiasa dikurniakan kesejahteraan, keselamatan serta terus cemerlang dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara,” menurut hantaran berkenaan. -WacanaKini