KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis digesa menjelaskan secara terperinci proses rundingan dan libat urus yang didakwa dilakukan sebelum Kuil Veeramakaliamman di Kangar dirobohkan pada 20 Ogos lalu.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, penjelasan terbuka diperlukan susulan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Perlis, Izizam Ibrahim bahawa beberapa siri rundingan telah diadakan bersama pengurusan kuil sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Beliau berkata, beliau tidak menyokong sebarang pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain tanpa kelulusan atau hak yang sah.
Namun, katanya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil, konsisten dan tidak secara terpilih.
“Jika benar beberapa rundingan telah diadakan, kerajaan negeri perlu menjelaskan siapa yang terbabit, apakah bentuk penyelesaian yang dicadangkan dan sama ada pilihan penempatan semula atau tanah alternatif pernah ditawarkan.
“Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan mengapa rundingan itu gagal serta sama ada semua ruang untuk mencapai penyelesaian secara baik benar-benar telah digunakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Menurut Ganabatirau, persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada tindakan merobohkan rumah ibadat itu perlu dilaksanakan ketika masih terdapat kemungkinan penyelesaian boleh dicapai menerusi rundingan.
Katanya, isu membabitkan rumah ibadat tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut penguatkuasaan kerana ia turut berkait dengan sensitiviti agama, sejarah, warisan dan kepentingan komuniti.
Beliau berkata, banyak kuil, sekolah serta penempatan masyarakat Hindu di negara ini telah wujud sejak sekian lama, termasuk di kawasan bekas estet dan tanah yang mempunyai latar belakang sejarah tersendiri.
“Selama beberapa dekad, masyarakat minoriti berulang kali mencari jalan penyelesaian yang praktikal terhadap isu tanah seperti ini, namun usaha untuk menyelesaikannya secara menyeluruh masih belum mencukupi.
“Saya bukan mengatakan satu kesalahan boleh menghalalkan kesalahan lain, tetapi keadilan juga tidak boleh dilaksanakan secara terpilih,” katanya.
Ganabatirau berkata, jika kerajaan mampu mencari penyelesaian terhadap isu tanah yang kompleks membabitkan kumpulan lain, pendekatan sama juga perlu digunakan bagi mencari jalan penyelesaian yang sah dan berperikemanusiaan terhadap institusi masyarakat Hindu yang telah lama wujud.
Beliau menegaskan tuntutan itu bukan permintaan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya bagi memastikan setiap komuniti menerima layanan yang adil dan sama rata di sisi undang-undang.
“Jika Malaysia benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang, maka undang-undang juga mesti memberikan perlindungan yang sama kepada semua.
“Kedaulatan undang-undang perlu melindungi semua rakyat dan bukan sekadar menjadi slogan yang digunakan secara selektif,” katanya.
Ganabatirau turut menyokong pendirian Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang sebelum ini membangkitkan isu perobohan kuil berkenaan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Hindu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Perlis seharusnya tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan butiran rundingan kepada umum sekiranya semua prosedur serta pilihan penyelesaian telah dilaksanakan sewajarnya. – WacanaKini
