SIMPANG AMPAT – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan terhadap kematian seorang pekerja syarikat telekomunikasi yang dipercayai terjatuh ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah menara telekomunikasi di Kampung Juru.
JKKP Pulau Pinang memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang pada 11 Julai lalu ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja Corrective Maintenance di menara berkenaan.
Bagaimanapun, kematian pekerja terbabit dilaporkan pada 16 Ogos lalu.
Menurut kenyataan JKKP Pulau Pinang, siasatan awal yang dijalankan pada 19 Ogos mendapati mangsa dipercayai melalui struktur asas (plinth) menara sebelum terjatuh ketika menuruni struktur berkenaan dari ketinggian kira-kira 63 sentimeter.
“Berikutan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Surat Arahan kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berhubung kemalangan itu untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 17(1) dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang sedang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, JKKP menegaskan setiap majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa menjalankan tugas, setakat yang praktik.
Ini termasuk memastikan kawasan kerja serta laluan keluar dan masuk berada dalam keadaan selamat, selain menjalankan pentaksiran risiko bagi setiap aktiviti kerja.
Majikan juga perlu memastikan laluan dan kawasan kerja disenggara dengan baik, bebas daripada sebarang halangan atau bahaya serta menyediakan sistem kerja selamat dan langkah kawalan risiko yang bersesuaian.
JKKP menegaskan pihaknya memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian. – WacanaKini
