LONDON – Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut, manakala 130 lagi cedera termasuk 23 kanak-kanak selepas sebuah pusat beli-belah di Kryvyi Rih, Ukraine, menjadi sasaran serangan dron Rusia pada Jumaat.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan susulan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan, sekali gus menimbulkan kebimbangan angka korban akan terus meningkat.
Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan beberapa dron jenis Shahed dipercayai digunakan dalam serangan ke atas pusat beli-belah yang ketika itu dipenuhi orang awam.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dymtro Lubinets berkata, mangsa berada di lokasi berkenaan untuk menjalani aktiviti harian termasuk membeli-belah, bekerja dan meluangkan masa bersama keluarga.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan serangan itu sebagai kejam, malah mendakwa Rusia menggunakan taktik double-tap dengan melancarkan serangan susulan ke lokasi sama ketika pasukan penyelamat tiba untuk membantu mangsa.
Kryvyi Rih yang menjadi lokasi serangan itu merupakan bandar kelahiran Zelenskyy.
Beliau memberi amaran Ukraine akan mengambil tindakan balas terhadap serangan tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran Moscow akan meningkatkan serangan terhadap sektor ekonomi Ukraine sebagai tindak balas terhadap serangan Kyiv ke atas sasaran ekonomi Rusia.
Menurut Putin, tindakan Ukraine itu disifatkannya sebagai telah membuka “kotak Pandora” dan bakal menerima tindak balas daripada Moscow.
“Rejim Kyiv mahu merosakkan ekonomi kita. Apa yang dilakukannya? Ia sendiri telah membuka kotak Pandora ini.
“Jadi, bersedialah untuk tindak balas yang menyasarkan sektor ekonomi paling sensitif,” katanya kepada wartawan stesen televisyen Rossiya-1 pada Sabtu. – WacanaKini
