Jenayah Utama

Narathiwat dikenakan perintah berkurung susulan siri letupan, pembakaran

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand mengenakan perintah berkurung di seluruh wilayah Narathiwat susulan siri serangan letupan dan pembakaran yang tercetus di beberapa wilayah selatan negara itu sejak malam Sabtu.

Pasukan keselamatan Narathiwat memaklumkan perintah berkurung berkuat kuasa dari jam 10.15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad, sebagai langkah memperketat kawalan keselamatan.

Penduduk turut diarahkan supaya berada di kediaman masing-masing dan hanya dibenarkan keluar atas urusan mendesak dengan kebenaran rasmi daripada pihak tentera, polis atau pentadbiran tempatan.

Langkah itu diambil selepas beberapa insiden keganasan dilaporkan berlaku secara berterusan di Narathiwat, Yala dan Pattani bermula kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.

Media tempatan melaporkan kumpulan penyerang dipercayai menyasarkan beberapa lokasi dengan membakar pejabat pentadbiran dan tayar kenderaan, selain meletupkan tiang elektrik serta menyerang sebuah kedai serbaneka.

Di Narathiwat sahaja, sekurang-kurangnya 11 insiden keganasan dilaporkan berlaku, manakala satu letupan kereta mengakibatkan dua individu cedera.

Susulan kejadian itu, Wilayah Tentera Keempat Thailand menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kewaspadaan dan sentiasa berhati-hati terhadap perkembangan keselamatan di kawasan berkenaan. – WacanaKini