TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih sejak Sabtu lalu diteruskan hari ini dengan penglibatan 50 anggota pelbagai agensi termasuk pasukan khas dan malim gunung.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi hari ini melibatkan enam anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), dua anggota Team Pelindung Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), lima anggota Jabatan Perhutanan serta tiga malim gunung.
Menurut beliau, pasukan terbabit akan diterbangkan menggunakan pesawat AW139 ke puncak Gunung Batu Putih dan lokasi titik pengangkatan udara baharu yang dikenal pasti sebagai Kem Kantoi.
“Team Pelindung bersama pasukan penyelamat turut ditugaskan mengambil cip daripada kamera pengawasan yang dipasang di beberapa laluan pendakian bagi membantu mengesan pergerakan mangsa,” katanya menurut sumber.
Beliau berkata, seramai 16 anggota tambahan digerakkan hari ini, manakala 24 anggota yang telah berada di lokasi sejak semalam terus menyertai operasi, menjadikan keseluruhan kekuatan pasukan SAR seramai 50 orang.
Mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 pendaki lain dan dua malim gunung pada Sabtu lalu.
Operasi SAR masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada laluan pendakian dan kawasan sekitar lokasi mangsa dipercayai kali terakhir dikesan. -WacanaKini
