Nasional Utama

Empat gerabak tren tergelincir di Chan Sow Lin berjaya dialihkan ke depot

AMPANG – Kerja pemulihan tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin menunjukkan perkembangan positif apabila empat gerabak yang terlibat berjaya dinaikkan semula ke landasan dan dipindahkan ke depot untuk pemeriksaan lanjut.

Rapid KL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan proses pemindahan dilakukan menerusi operasi khas yang berlangsung semalam sehingga awal pagi tadi.

Menurut syarikat pengendali pengangkutan awam itu, kerja berkenaan melibatkan penyambungan gerabak tren dengan kenderaan trek khas bagi membolehkan ia dialihkan secara selamat dan terkawal.

“Usaha pemulihan sedang dilaksanakan secara intensif bagi memastikan perkhidmatan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kami adalah memastikan perkhidmatan yang selamat dan selesa dapat dipulihkan secepat mungkin untuk semua pengguna,” menurut kenyataan itu.

Khamis lalu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin selepas berlaku kerosakan pada suis landasan, sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan di laluan tersebut.

Susulan kejadian itu, pasukan teknikal menjalankan pelbagai kerja pemulihan termasuk mengalihkan gerabak yang terkeluar dari landasan sebelum dibawa ke depot bagi menjalani pemeriksaan menyeluruh.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini memaklumkan landasan yang terjejas dijangka dapat digunakan semula selewat-lewatnya Rabu depan.

Beliau berkata, operasi di semua stesen Laluan Ampang/Sri Petaling masih diteruskan menggunakan jadual perkhidmatan yang diselaraskan sepanjang kerja-kerja pembaikan dan pemulihan berlangsung. – WacanaKini