PADANG BESAR – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti penggunaan teknologi pemantauan bagi membendung kegiatan kecurian kabel landasan kereta api yang semakin kerap berlaku dan menjejaskan operasi perkhidmatan rel negara.
Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu penting kerana insiden kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan gangguan perkhidmatan kereta api, malah melibatkan aspek keselamatan awam dan kepentingan negara.
Menurut beliau, kes berkenaan tidak boleh dianggap sebagai jenayah biasa kerana impaknya boleh menjejaskan kelancaran sistem pengangkutan rel, khususnya di kawasan utara Semenanjung.
“Kecurian kabel telah menyebabkan banyak gangguan kepada perkhidmatan kereta api dan pada masa sama boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang ramai.
“Justeru, kita sedang menilai penggunaan teknologi yang lebih berkesan untuk mengesan dan mencegah kegiatan ini daripada terus berulang,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin–Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Anthony berkata, MOT juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meneliti langkah memperketatkan penguatkuasaan dan peruntukan undang-undang berkaitan jenayah tersebut.
Beliau menjelaskan, nilai tembaga yang tinggi dipercayai menjadi antara faktor utama yang mendorong kegiatan kecurian kabel, selain cabaran memantau rangkaian landasan kereta api negara yang meliputi kira-kira 1,000 kilometer.
“Sebahagian laluan berada di kawasan terpencil dan sukar dipantau secara berterusan, sekali gus memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan mereka,” katanya.
Menurut beliau, kementerian turut meneliti pendekatan yang digunakan negara lain dalam menangani masalah sama memandangkan kecurian kabel turut berlaku di negara yang mempunyai sistem rel moden.
“Kita mahu melihat penyelesaian terbaik yang telah dilaksanakan di negara lain dan menilai kesesuaiannya untuk diaplikasikan dalam konteks Malaysia,” katanya. – WacanaKini
