Nasional Utama

Pengangguran Malaysia naik semula kepada 3 peratus, lebih 511,000 masih mencari kerja

PUTRAJAYA – Kadar pengangguran negara kembali meningkat kepada 3.0 peratus pada April 2026 dengan jumlah penganggur mencecah 511,800 orang, menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus berbanding 2.9 peratus yang direkodkan pada Mac lalu itu menjadikan kadar pengangguran kembali ke paras yang pernah dicatatkan pada Oktober 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, meskipun jumlah penganggur meningkat, pasaran buruh negara secara keseluruhan masih menunjukkan pertumbuhan sederhana sejajar dengan perkembangan ekonomi yang stabil.

Menurut beliau, bilangan penduduk bekerja terus bertambah kepada 16.82 juta orang pada April berbanding 16.80 juta pada bulan sebelumnya.

“Golongan pekerja kekal menjadi penyumbang terbesar kepada tenaga kerja negara dengan mewakili 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat sedikit kepada 12.61 juta orang.

“Bilangan pekerja sendiri juga terus berkembang apabila meningkat kepada 3.15 juta orang berbanding 3.14 juta pada Mac,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas trend pengangguran, Mohd Uzir berkata, sebahagian besar penganggur terdiri daripada kategori penganggur aktif iaitu individu yang bersedia bekerja dan sedang mencari pekerjaan.

Golongan itu merangkumi 79.5 peratus daripada keseluruhan penganggur dengan jumlah meningkat kepada 407,100 orang.

Daripada jumlah tersebut, hampir dua pertiga atau 63.9 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala lima peratus masih belum memperoleh pekerjaan selepas tempoh lebih setahun.

Pada masa sama, bilangan penganggur tidak aktif yang beranggapan tiada peluang pekerjaan sesuai meningkat kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada Mac.

Dari sudut keseluruhan tenaga buruh, DOSM melaporkan jumlah tenaga buruh negara meningkat sedikit kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Mac lalu.

Perkembangan itu menunjukkan pasaran pekerjaan negara masih berkembang, namun berdepan cabaran untuk menyerap sepenuhnya pertambahan tenaga kerja yang memasuki pasaran buruh. – WacanaKini