KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) pada 12 Ogos lalu.
IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air kini berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.
Menurut kenyataan itu, Fadillah akan meneruskan tempoh pemulihan di kediamannya dengan penjagaan susulan serta menjalani program rehabilitasi jantung seperti yang disarankan pasukan perubatan.
“Bagi menyokong proses pemulihan berterusan, pasukan perubatan mengesyorkan supaya jumlah pelawat dihadkan kepada keluarga terdekat buat masa ini bagi membolehkan beliau mendapat masa secukupnya untuk berehat dan pulih,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Fadillah selepas menjalani prosedur berkenaan.
“Kami berbesar hati melihat pemulihan dan perkembangan positif Timbalan Perdana Menteri selepas pembedahan.
“Keadaan beliau sudah bertambah baik dan mencukupi untuk meneruskan pemulihan di rumah, selain akan terus berada bawah pemantauan susulan pasukan perubatan,” katanya.
Fadillah dijangka meneruskan proses pemulihan secara berperingkat sebelum kembali menjalankan tugas seperti biasa, tertakluk kepada nasihat dan penilaian pasukan perubatan. – WacanaKini
