KANGAR – Polis akan memanggil Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan beliau dipercayai melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihak polis telah memulakan siasatan awal selepas video berkenaan tersebar luas di media sosial walaupun setakat ini tiada laporan rasmi diterima berkaitan kejadian itu.
Menurut beliau, siasatan turut tertumpu kepada jenis senjata dan peluru yang digunakan dalam insiden tersebut.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sama ada peluru digunakan adalah peluru hidup atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, rakaman video berdurasi beberapa saat memaparkan Abu Bakar dipercayai melepaskan tembakan ke arah seekor lembu ketika program korban mula tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Insiden itu mengundang perdebatan orang ramai mengenai aspek keselamatan serta pematuhan prosedur penggunaan senjata api di tempat awam. – WacanaKini
