JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor dijangka menganjurkan Konvensyen BN Johor pada 14 Jun depan sebagai langkah memperkukuh kesatuan, kerjasama serta hala tuju parti di negeri ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat BN Negeri Johor yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan berlangsung dalam suasana muafakat dan semangat kebersamaan bagi memastikan kestabilan politik serta pembangunan Johor terus diperkasakan.
“Konvensyen ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh tekad perjuangan parti dan menyatukan gerak kerja semua komponen BN di Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, mesyuarat tersebut turut mengambil maklum pengumuman Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) ke dalam gabungan itu.
Katanya, BN Johor akan terus mempererat kerjasama dengan MyPPP bagi memperkukuh kesepaduan serta jentera parti di negeri berkenaan.
Beliau turut menjelaskan mesyuarat itu menjadi medan untuk memperhalusi gerak kerja parti dan menyusun strategi lebih tersusun dalam memastikan agenda Maju Johor dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Semangat permuafakatan dalam BN perlu terus menjadi kekuatan utama dalam membawa suara rakyat serta memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – WacanaKini
