Politik Utama

Anwar, Shehbaz sepakat ketegangan serantau ditangani melalui dialog dan diplomasi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif sepakat bahawa sebarang ketegangan di rantau ini perlu ditangani secara berhati-hati menerusi dialog dan diplomasi demi memelihara keamanan serta kestabilan.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin, apabila Shehbaz turut bertanyakan perkembangan kesihatan Anwar.

Anwar berkata, beliau menghargai keprihatinan Perdana Menteri Pakistan itu, termasuk doa serta kiriman bunga dan buah-buahan, sambil memaklumkan bahawa beliau kini berada dalam proses pemulihan.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai beberapa perkembangan semasa di rantau ini, termasuk hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami juga membincangkan perkembangan hubungan Iran–Amerika Syarikat dan menegaskan pentingnya libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan.

“Selat Hormuz pula mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan turut bersetuju untuk memperhebat kerjasama perdagangan serta ekonomi yang masih mempunyai ruang besar untuk diteroka.

Antara perkara dibincangkan ialah usaha memperluas eksport daging Pakistan ke Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan hubungan perdagangan dua hala.

Menurut Anwar, segala persetujuan dan komitmen yang dicapai perlu diterjemahkan kepada tindakan serta hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Segala komitmen yang dicapai harus diterjemahkan segera kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Malaysia akan terus mendukung Pakistan sebagai negara sahabat dan rakan penting, insya-Allah,” katanya. – WacanaKini