LANGKAWI – Seorang pengendali jetski yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut pada Khamis ditemukan maut petang semalam berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, ditemui orang awam yang sedang menaiki jetski kira-kira 100 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa ditemukan pada kira-kira jam 6 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai agensi ditamatkan pada jam 7 petang hari sama.
Menurut Khairul Azhar, polis sebelum ini menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 9.17 malam Khamis, sekali gus membawa kepada pelancaran operasi SAR di kawasan perairan terbabit.
Beliau berkata, operasi pencarian disambung semula pada pagi Jumaat melibatkan tiga sektor pencarian dengan keluasan sekitar 2.54 batu nautika persegi.
“Empat aset laut terlibat dalam operasi hari ini membabitkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya. – WacanaKini
