KANGAR – Jawatankuasa rumah ibadat yang dikenal pasti membina struktur tanpa kebenaran di Perlis disaran tampil berunding dengan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian, kata Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi bukan bertujuan menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing, sebaliknya bagi menangani isu pembinaan rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak menghalang pembinaan kuil atau rumah ibadat lain selagi ia mematuhi syarat, mendapat kelulusan serta dibina di lokasi yang bersesuaian.
“Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman.
“Kita tidak menghalang pembinaan kuil jika syarat dipatuhi dan lokasinya sesuai. Tindakan kerajaan negeri adalah untuk menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall, di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata, tindakan terhadap kuil di Bukit Lagi itu diambil selepas isu pencerobohan tanah berlarutan sejak sekian lama dan pihak terbabit gagal berpindah walaupun notis telah diberikan.
Beliau berkata, kejadian itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya mematuhi peruntukan undang-undang, prosedur kelulusan dan keputusan mahkamah dalam pembinaan rumah ibadat.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana jawatankuasa rumah ibadat yang berdepan isu pembinaan tanpa kelulusan supaya berbincang secara terbuka dengan kerajaan negeri sebelum masalah menjadi lebih rumit.
“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Kita boleh beri tempoh untuk melanjutkan tindakan, tetapi sampai bila?
“Saya beri gambaran ini supaya semua pihak berhenti membina rumah ibadat di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.
Menurut Abu Bakar, selain kuil di Bukit Lagi, beberapa rumah ibadat lain turut dikesan dibina di kawasan yang tidak dibenarkan, termasuk di sekitar Kuala Perlis dan Padang Besar.
Beliau berharap isu berkenaan menjadi iktibar bukan sahaja kepada pihak di Perlis, malah di negeri lain supaya setiap pembinaan rumah ibadat dilaksanakan mengikut proses, kelulusan dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengkritik tindakan penguatkuasaan terhadap Kuil Veeramakaliamman dan mendakwa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Perlis bertindak angkuh serta rasis. – WacanaKini
