KANGAR – Polis telah merakam keterangan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah serta merampas senjata api dan beberapa butir peluru bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan beliau dipercayai melepaskan tembakan ke arah seekor lembu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 4.51 petang semalam berhubung rakaman video berdurasi 38 saat yang tersebar di media sosial.
Menurut beliau, video itu menunjukkan Abu Bakar melepaskan tembakan ke arah seekor lembu yang dipercayai mengamuk ketika Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
“Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah mengambil keterangan Menteri Besar Perlis bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sepucuk senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bersama sembilan butir peluru jenis buckshot untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata, berdasarkan keterangan yang diberikan, tindakan melepaskan tembakan itu dipercayai dilakukan bagi mengawal seekor lembu yang bertindak agresif dan dikhuatiri mengancam keselamatan petugas serta orang awam yang berada di lokasi program.
Beliau berkata, semakan dengan Bahagian Pelesenan IPD Kangar mendapati Abu Bakar merupakan pemegang lesen sah bagi senjata api jenis senapang patah berkenaan.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi serta perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial. – WacanaKini
