KUALA LUMPUR – Insiden membabitkan 17 penunggang motosikal dari Malaysia yang ditahan dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Thailand perlu dijadikan peringatan supaya setiap rakyat menghormati undang-undang negara yang dikunjungi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebebasan untuk berkunjung ke negara lain tidak bermakna seseorang itu boleh mengabaikan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, hubungan baik antara negara jiran, khususnya dalam kalangan anggota ASEAN, perlu dibina atas asas kesefahaman, tolak ansur dan sikap saling menghormati.
“Pada hemat saya, di mana-mana negara pun kita harus mengikuti peraturan yang ditentukan oleh negara berkenaan.
“Dan tentunya kesefahaman mesti wujud di antara negara jiran, terutamanya kita berada dalam kerangka negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Amal PDRM dengan kerjasama Ipoh Superbike Club sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada petang ini.
Ahmad Zahid berkata, sikap bertolak ansur dalam hubungan antara negara jiran penting untuk terus diperkukuhkan, namun setiap pihak tetap perlu menghormati kedaulatan dan undang-undang negara masing-masing.
“Maka, kita mesti bertolak ansur dan kita harap ianya hormat-menghormati dan bukan kita mahu melanggar undang-undang di mana-mana negara,” ujarnya.
Beliau berkata, prinsip yang sama turut diguna pakai terhadap kenderaan asing yang memasuki Malaysia kerana tindakan sewajarnya tetap boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran terhadap undang-undang atau peraturan tempatan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebarang isu membabitkan rakyat atau kenderaan antara negara ASEAN boleh diselesaikan menerusi saluran rasmi dan mekanisme rundingan antara kerajaan.
Katanya, platform seperti mesyuarat rundingan tahunan antara pemimpin Malaysia dan negara-negara ASEAN boleh digunakan untuk membincangkan serta mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang timbul.
“Setiap tahun kita mempunyai mesyuarat rundingan tahunan di antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri mana-mana negara ASEAN.
“Dan sebarang permasalahan jika wujud, ianya boleh dirungkaikan di dalam mesyuarat berkenaan,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan semangat kejiranan yang erat dalam kalangan negara ASEAN perlu terus dipelihara melalui pendekatan saling menghormati dan bertolak ansur, khususnya antara negara yang berkongsi sempadan.
