Nasional Utama

Pendaki warga Singapura cedera terjatuh ketika turun Gunung Datuk

SEREMBAN – Seorang lelaki warga Singapura mengalami kecederaan selepas dipercayai terjatuh ketika menuruni Gunung Datuk di Rembau, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi II Asnizam Kamberon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.29 pagi.

Menurut beliau, mangsa berusia 52 tahun itu merupakan sebahagian daripada kumpulan 11 pendaki yang menjalankan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Datuk dengan ditemani dua malim gunung.

“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh di kawasan berbatu berhampiran tangga menuju puncak ketika dalam perjalanan turun.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah pada tangan kanan,” katanya kepada sumber.

Susulan laporan diterima, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi dan mendaki kira-kira dua kilometer dari kaki gunung untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Asnizam berkata, mangsa kemudian dibawa turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat yang melibatkan lima anggota bomba berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 2.28 petang. – WacanaKini