Nasional Utama

Bekas ADUN Terentang Tan Sri Mohd Yazid Baba meninggal dunia

DAMANSARA – Tokoh politik veteran Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terentang, Tan Sri Mohd Yazid Baba meninggal dunia pada usia 92 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), awal pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anaknya, Datuk Mastura Mohd Yazid menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.36 pagi.

Mastura berkata, jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima amal baktinya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh syurga firdaus,” katanya.

Allahyarham Mohd Yazid merupakan antara tokoh politik berpengaruh di Negeri Sembilan dan pernah mewakili kawasan Terentang, yang kini dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, selama tiga penggal berturut-turut.

Beliau memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, 1978 dan 1982 serta pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.

Selain aktif dalam arena politik, Allahyarham turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepolisan dan perundangan.

Sepanjang hayatnya, beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) serta Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Allahyarham juga merupakan abang sulung kepada bekas Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Allahyarham Tan Sri Rashdan Baba.

Beliau meninggalkan balu, Puan Sri Zainun Yusuff, lima orang anak serta cucu dan cicit. – WacanaKini