Politik Utama

TPM Zahid seru UMNO perkukuh agenda masa depan menjelang persidangan tahunan

KUALA LUMPUR – Persidangan Tahunan UMNO yang menghimpunkan perwakilan daripada Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh negara akan berlangsung bermula esok hingga 12 Julai ini dengan fokus memperkukuh hala tuju parti dalam mendepani cabaran semasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persidangan berkenaan merupakan platform penting untuk mempererat saf perjuangan parti serta memperbaharui komitmen kepada rakyat dan negara.

Menurut beliau, UMNO perlu terus bergerak ke hadapan dengan pendekatan baharu selaras perubahan landskap politik, ekonomi dan sosial yang semakin mencabar.

“Dunia hari ini berdepan tekanan ekonomi global, perkembangan teknologi yang pesat serta pelbagai cabaran sosial yang memerlukan kita berfikir lebih jauh dan menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika UMNO menghampiri usia 80 tahun, parti itu tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah perjuangannya semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan UMNO perlu berani melakukan perubahan, menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa dan terus relevan dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Era baharu menuntut keberanian untuk berubah, kebijaksanaan dalam membuat penyesuaian dan kesungguhan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap persidangan kali ini menjadi medan untuk memperkukuh agenda Rumah Bangsa dan Musyawarah Nasional, selain mengeratkan kesepaduan pemikiran serta kerjasama yang lebih luas demi kepentingan negara.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh perwakilan agar menggunakan ruang persidangan dengan sebaiknya melalui perbahasan yang matang, berhemah dan berteraskan kepentingan parti serta rakyat.

“UMNO perlu terus menjadi wadah yang diyakini rakyat dan memainkan peranan penting dalam pembangunan serta kestabilan negara,” katanya. – WacanaKini