Politik Utama

Izham pertimbang saman Ronnie Liu berhubung dakwaan isu penternakan babi

KANGAR – Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu susulan beberapa dakwaan yang dikaitkan dengannya berhubung isu penternakan babi di Selangor.

Izham berkata, beliau kini mendapatkan nasihat peguam bagi meneliti kenyataan yang dibuat bekas pemimpin DAP itu bagi menentukan sama ada terdapat unsur fitnah yang boleh membawa kepada tindakan perundangan.

Menurut ADUN Pandan Indah itu, kebanyakan tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas serta dilihat mempunyai kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya sedang meneliti perkara ini bersama peguam untuk melihat sama ada wujud unsur fitnah yang melampau sehingga memerlukan tindakan undang-undang.

“Antara dakwaan yang tidak benar ialah kononnya idea untuk menamatkan penternakan babi di Selangor datang daripada saya,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang dasar kerajaan negeri tidak diputuskan secara individu, sebaliknya perlu dibawa dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Izham turut menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan individu yang mencadangkan pembangunan ladang babi moden di Bukit Tagar.

Menurutnya, cadangan tersebut sebenarnya dikemukakan oleh pihak pelabur yang mempunyai kepentingan dalam industri berkenaan sebelum dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.

Katanya, pembangunan ladang moden juga tidak sesuai dilaksanakan di kawasan yang berdepan masalah wabak kerana ia berisiko menimbulkan isu berulang pada masa hadapan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat dalam membuat keputusan berkaitan isu tersebut.

Izham berkata, usaha berkaitan cadangan penternakan babi itu akhirnya dihentikan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya isu berkenaan diselesaikan dan tidak diteruskan.

“Kerajaan negeri menjunjung titah baginda dan mengambil keputusan untuk menghentikan semua usaha berkaitan perkara tersebut,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa beliau pernah mengugut penternak babi dalam satu mesyuarat tertutup, Izham menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

“Jika benar saya mengugut, buat laporan polis. Tuduhan seperti itu tidak mencerminkan cara saya bekerja mahupun budaya parti,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) meminggirkan masyarakat Cina di negeri itu.

Menurutnya, Amanah sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dan memberi perhatian kepada kebajikan semua kaum tanpa mengira latar belakang.

Sebelum ini, Ronnie Liu dilaporkan mendakwa Amanah berdepan risiko kehilangan sokongan di Selangor susulan kontroversi berkaitan isu penternakan babi yang dikaitkan dengan Izham.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Salimi Azmi turut menolak dakwaan tersebut dan menegaskan isu berkenaan tidak akan menjejaskan kedudukan politik parti itu pada pilihan raya akan datang. -WacanaKini