PUTRAJAYA – Kejayaan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bergantung kepada kerjasama menyeluruh semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam menyokong agenda transformasi pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penglibatan aktif golongan tersebut amat penting khususnya dalam menjayakan pelaksanaan kurikulum baharu yang akan diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun depan.
Menurut beliau, pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah telah dimulakan manakala usaha memperluaskan akses pendidikan prasekolah di seluruh negara sedang giat dilaksanakan.
“Pada tahun hadapan, Kementerian Pendidikan akan memulakan pelaksanaan kurikulum persekolahan baharu melibatkan murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu.
“Usaha ini memerlukan komitmen dan sokongan padu daripada semua pihak termasuk ibu bapa serta masyarakat bagi memastikan matlamat yang dirancang dapat dicapai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa beberapa inisiatif baharu, termasuk aktiviti membaca bersama murid prasekolah, memerlukan peranan aktif ibu bapa di rumah bagi menyokong perkembangan pembelajaran anak-anak.
Menurutnya, kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti akan menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan dasar pendidikan negara untuk tempoh sedekad akan datang.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri sesi dialog bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) bagi kawasan Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Melaka.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menggesa Melaka menjadikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu sebagai pemangkin untuk memperkukuh lagi ekosistem pendidikan negeri tersebut.
Pada majlis sama, Fadhlina menyampaikan peruntukan berjumlah RM280,000 bagi kerja-kerja menaik taraf bilik guru yang melibatkan 13 buah sekolah.
Beliau berharap kemudahan yang lebih selesa dapat meningkatkan motivasi guru dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik serta melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing. – WacanaKini
