Nasional Utama

Dr Lee Yee Qing cipta sejarah, saintis Malaysia pertama raih Anugerah Penyelidik Muda ASTMH

KUALA LUMPUR – Pensyarah dan ahli akademik Universiti Malaya (UM), Dr Lee Yee Qing, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Penyelidik Muda daripada Persatuan Perubatan Tropika dan Kebersihan Amerika (ASTMH).

Pencapaian itu turut menyaksikan beliau menerima geran perjalanan kompetitif daripada pertubuhan saintifik berprestij berkenaan bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan ASTMH 2026 di Maryland, Amerika Syarikat (AS).

Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi hantaran di Facebook merakamkan ucapan tahniah kepada Lee atas pengiktirafan yang mengangkat kecemerlangan penyelidik Malaysia di pentas antarabangsa.

“Kecemerlangan rakyat Malaysia terus mengukir nama di persada global,” menurut hantaran itu.

Menurut kedutaan berkenaan, penyelidikan Lee yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebelum ini akan terus mendapat perhatian apabila beliau menyertai Mesyuarat ASTMH 2026.

Berdasarkan profil UMExpert, Lee kini berkhidmat di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan UM.

Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Mikrobiologi Perubatan daripada UM pada 2025, selepas menyiapkan tesis dengan cemerlang dan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

Sebelum itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains Perubatan daripada universiti sama pada 2021, manakala Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Biokimia pada 2017.

Penyelidikan Lee memberi tumpuan kepada bidang mikrobiologi perubatan, khususnya kajian berkaitan kerintangan antimikrob dan patogen bakteria.

Anugerah Penyelidik Muda ASTMH diberikan kepada penyelidik baharu yang menunjukkan potensi besar dalam bidang perubatan tropika dan disiplin berkaitan, manakala geran perjalanan pula membantu penerima menghadiri mesyuarat saintifik tahunan pertubuhan itu. – WacanaKini