Nasional Utama

Hari TVET Negara 2026 sasar 500,000 pengunjung, tawar 3,000 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 membuka tirainya hari ini dengan sasaran menarik lebih 500,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh peranan TVET sebagai laluan utama pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, program yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Putrajaya sehingga Ahad itu menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi pendidikan dan pemain industri daripada sembilan sektor strategik termasuk aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta tenaga.

Kemuncak sambutan dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 10 pagi esok.

Ahli Majlis TVET Negara, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar pameran pendidikan, sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan institusi latihan, industri dan peluang pekerjaan dalam satu ekosistem yang menyeluruh.

Menurutnya, antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah Karnival Kerjaya TVET yang menawarkan hampir 3,000 peluang pekerjaan serta sesi temu duga terbuka kepada pencari kerja.

“Ini membuktikan TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya telah menjadi laluan kerjaya utama yang menawarkan kebolehpasaran tinggi dan pendapatan kompetitif kepada golongan muda,” katanya.

Sepanjang penganjuran, pengunjung berpeluang meneroka enam hab utama yang merangkumi pameran institusi TVET dan industri, seminar, karnival kerjaya, usahawan TVET, cabaran kemahiran serta pelbagai aktiviti hiburan berinformasi.

Dalam masa sama, penyertaan 30 pempamer dari China mencerminkan keyakinan industri antarabangsa terhadap pembangunan ekosistem TVET negara serta mengukuhkan kerjasama global dalam bidang kemahiran.

Mohamed Khairul Azman berkata, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kementerian, agensi kerajaan, institusi TVET dan sektor industri diyakini mampu memastikan sambutan kali ini memberi impak besar kepada rakyat, khususnya belia dan pencari kerja.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan lawatan ke tapak program petang ini bagi meninjau persiapan dan perjalanan sambutan berkenaan.

Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun terus menjadi platform penting dalam memperkasakan agenda TVET MADANI, dengan penekanan terhadap pembangunan kemahiran, inovasi dan kebolehpasaran graduan.

Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET kini diangkat sebagai agenda nasional bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi serta menyokong pertumbuhan pelaburan dan pembangunan ekonomi negara. – WacanaKini