Nasional Utama

Tengku Permaisuri Selangor sertai 10,000 wanita berselawat, semarak cinta Rasulullah

SHAH ALAM – Lebih 10,000 wanita berhimpun mengalunkan selawat dalam Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat yang turut disertai Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Ketibaan baginda kira-kira jam 9.15 malam disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad; EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari serta Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.

Baginda kemudian berkenan bersama-sama jemaah wanita mengalunkan selawat yang dipimpin Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa, Ustazah Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Majlis turut diisi dengan tazkirah bertajuk “Meneladani Akhlak Rasulullah Muhammad SAW: Inspirasi Buat Wanita Beriman” yang disampaikan Ustazah Nazirah Abu Bakar.

Program anjuran WBS itu bermula seawal jam 6 petang dan menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, selain memperkukuh ukhuwah serta penghayatan nilai kerohanian dalam kalangan wanita di Selangor.

Terdahulu, Siti Faridah berkata, kehadiran kira-kira 10,000 jemaah wanita mencerminkan kekuatan besar yang mampu dibentuk apabila golongan itu bersatu atas landasan kebaikan dan semangat perpaduan.

Menurutnya, majlis berkenaan menjadi permulaan untuk para peserta bersama-sama berselawat dan berdoa demi keharmonian Selangor, selain mengharapkan lahirnya generasi masa depan yang berilmu serta berakhlak.

Beliau turut menyeru para peserta agar terus memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, tabah menghadapi cabaran serta berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat.