Mahkamah Utama

Peguam negara mohon kebenaran rayu keputusan benar Majlis Peguam cabar DNAA Zahid

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam mencabar tindakan pendakwaan menghentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes berkaitan Yayasan Akalbudi.

Menerusi notis usul yang difailkan semalam, Mohd Dusuki mengemukakan dua persoalan undang-undang utama yang menurutnya wajar diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana melibatkan bidang kuasa dan kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan pertama berkaitan sama ada keputusan Peguam Negara untuk memulakan atau menghentikan sesuatu pendakwaan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar menerusi prosiding semakan kehakiman.

Sekiranya keputusan tersebut boleh disemak oleh mahkamah, beliau turut memohon penjelasan mengenai syarat atau ujian undang-undang yang perlu dipenuhi sebelum semakan kehakiman dibenarkan.

Persoalan kedua pula menyentuh sama ada ujian dua peringkat yang digariskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah lwn Menteri Luar Negeri, Malaysia & lain-lain pada 2021 merupakan prinsip undang-undang mengikat yang wajib dipatuhi oleh mahkamah bawahan.

Dalam permohonan sama, Mohd Dusuki turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan terhadap permohonan kebenaran merayu tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai responden kedua dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan telah memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu pada 25 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri itu mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk meneruskan cabaran terhadap keputusan Peguam Negara yang menghentikan prosiding jenayah terhadap Ahmad Zahid pada 4 September 2023.

Mahkamah memutuskan bahawa permohonan itu tidak bersifat remeh atau menyusahkan serta membangkitkan isu undang-undang yang wajar didengar melalui perbicaraan penuh.

Keputusan tersebut sekali gus mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini menolak permohonan Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman.

Majlis Peguam turut memohon deklarasi bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi adalah tidak sah dan terbatal.

Pada September 2023, Mahkamah Tinggi memberikan DNAA kepada Ahmad Zahid selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding sementara bagi meneliti bukti baharu dalam kes berkenaan. – WacanaKini