Mahkamah Utama

Agong perkenan tarik gelaran Tan Sri Isa Samad susulan sabitan rasuah

PUTRAJAYA – Gelaran Tan Sri yang disandang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad, ditarik balik selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pembatalan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang dikurniakan kepadanya.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri itu berkuat kuasa mulai 8 Jun lalu.

Menurut JPM, keputusan tersebut dibuat susulan sabitan kesalahan jenayah terhadap Mohd Isa yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Penarikan balik kurniaan ini selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia di bawah Perenggan XXV dan XXVIA yang memperuntukkan bahawa darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerima disabitkan dengan kesalahan jenayah.

“Ia juga selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Pada Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung kes rasuah membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nordin Hassan membuat keputusan sebulat suara untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan bekas Pengerusi Felda berusia 77 tahun itu.

Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 telah mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan penerimaan wang berjumlah RM3.09 juta dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta.

Beliau turut berdepan tambahan hukuman penjara sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Keputusan penarikan balik darjah kebesaran itu menjadikan Mohd Isa tidak lagi berhak menggunakan gelaran Tan Sri yang diperoleh menerusi kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota. – WacanaKini