Nasional Utama

Lima penumpang cedera selepas tren LRT Kelana Jaya berhenti mengejut dekat Stesen Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Lima penumpang cedera dalam satu insiden melibatkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang berhenti secara mengejut berhampiran Stesen Dang Wangi petang semalam.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian kira-kira jam 6.07 petang itu berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen.

Menurut syarikat pengendali pengangkutan awam itu, sistem berkenaan merupakan ciri keselamatan sedia ada yang direka untuk bertindak balas terhadap sebarang situasi luar jangka bagi memastikan keselamatan operasi tren.

“Pemberhentian secara serta-merta menyebabkan seorang penumpang yang sedang berdiri hilang imbangan sebelum botol air yang dipegangnya terkena panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.

“Panel kaca tersebut kemudiannya pecah dan serpihannya terkena beberapa penumpang yang berada berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Akibat kejadian tersebut, lima penumpang mengalami kecederaan dengan dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala tiga lagi menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan.

Rapid KL memaklumkan penumpang lain tidak mengalami kecederaan dan telah dipindahkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

Susulan insiden itu, tren yang terlibat dikeluarkan daripada operasi sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Walaupun perkhidmatan Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa, beberapa pelarasan kekerapan tren dilakukan sementara siasatan dan pemeriksaan dijalankan.

Rapid KL turut mengesahkan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menegaskan keselamatan serta keselesaan penumpang kekal menjadi keutamaan syarikat.

Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan supaya sentiasa berpegang pada pemegang tangan dan memastikan kedudukan stabil sepanjang perjalanan, terutama ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen. – Wacanakini