Nasional Utama

Pemilik lesen senjata api tidak boleh lepas tembakan sesuka hati – Peguam

KUALA LUMPUR – Pemilikan lesen senjata api tidak memberi kuasa mutlak kepada seseorang untuk melepaskan tembakan sesuka hati kerana penggunaan senjata api tetap tertakluk kepada undang-undang serta syarat keselamatan awam yang ketat.

Peguam, Vivek Sukumaran berkata, terdapat perbezaan jelas antara memiliki senjata api secara sah dan menggunakan senjata tersebut dalam sesuatu keadaan.

Menurut beliau, setiap penggunaan senjata api perlu mematuhi peruntukan undang-undang, syarat pelesenan serta keperluan kawal selia yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Orang ramai berhak mengetahui sama ada pelepasan tembakan itu dibenarkan, sah dan mematuhi semua keperluan perundangan yang berkaitan.

“Keyakinan terhadap sistem keadilan akan lebih terpelihara apabila siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan tanpa pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan.

Vivek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam berkata demikian dalam kapasiti peribadi ketika mengulas insiden membabitkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban menggunakan senapang patah.

Insiden itu menjadi perhatian selepas rakaman video kejadian tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop memaklumkan bahawa Abu Bakar akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Menurut Vivek, siasatan perlu meneliti sama ada tindakan yang dilakukan mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan termasuk jenis lesen yang dimiliki dan tujuan senjata api itu dilesenkan di bawah Akta Senjata 1960.

Beliau berkata, aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah sama ada pelepasan tembakan tersebut boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan awam berdasarkan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan juga boleh merangkumi unsur kecuaian, tindakan terburu-buru atau perbuatan yang berpotensi membahayakan nyawa manusia bergantung kepada fakta kes.

Selain itu, beliau menjelaskan Akta Kebajikan Haiwan 2015 turut menyediakan rangka kerja perundangan berkaitan pengendalian, kebajikan dan kaedah pembunuhan haiwan yang perlu dipatuhi dalam situasi tertentu. – WacanaKini