KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu menyebabkan BN tidak mempunyai pilihan selain bergerak sendiri bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
“Di Negeri Sembilan, BN pastinya akan bertanding secara solo kerana PH telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.
“Jadi, kita tiada pilihan lain selain turun bertanding secara solo,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Invest Malaysia 2026 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Presiden UMNO itu bagaimanapun optimis BN mampu memberikan saingan dan menegaskan keutamaan parti ketika ini adalah mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal kukuh dan berjalan dengan baik.
Menurut beliau, semua parti yang membentuk kerajaan ketika ini terus menunjukkan komitmen serta kerjasama erat demi memastikan kestabilan pentadbiran negara.
Ketika ditanya mengenai tempoh hayat kerajaan semasa, Ahmad Zahid secara berseloroh berkata perkara itu lebih sesuai dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa isu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) tidak lagi berbangkit dan dianggap telah selesai sepenuhnya.
Katanya, BN dan UMNO tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengembalikan kerjasama politik tersebut sama ada dalam bentuk asal mahupun versi baharu.
“Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh pihak lain.
“Jadi, kita tidak mempunyai niat atau hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional sama ada versi 1.0 atau 2.0. Perkara itu sudah muktamad dan kita telah tutup buku,” katanya. – WacanaKini
