Politik Utama

Azhar Ahmad, Cucu Nik Aziz capai kata sepakat tamatkan kemelut secara damai

KOTA BHARU – Kemelut melibatkan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad dan cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi akhirnya diselesaikan secara baik apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai serta menamatkan pertikaian yang timbul susulan insiden di sebuah program universiti bulan lalu.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, kedua-dua mereka memaklumkan bahawa persefahaman dicapai hasil perbincangan secara harmoni yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan saling menghormati.

Menurut kenyataan itu, Azhar dan Nik Alif Aiman turut saling bermaafan serta menerima penyelesaian yang dicapai dengan hati terbuka demi menjaga hubungan baik dan kepentingan semua pihak.

“Perbincangan telah berlangsung dalam suasana mesra dan penuh hormat, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian,” menurut kenyataan tersebut.

Pertemuan berkenaan turut disaksikan beberapa individu termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan, komen atau mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan reputasi serta nama baik mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.

“Dengan penyelesaian ini, kedua-dua pihak menganggap isu berkenaan telah selesai sepenuhnya dan berharap semua pihak menghormati keputusan yang telah dicapai,” menurut kenyataan itu lagi.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan proses perdamaian serta berharap semangat hormat-menghormati, kesopanan dan keharmonian terus dipelihara dalam masyarakat.

Sebelum ini, Nik Alif Aiman mendakwa beliau ditampar oleh seorang bekas senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa beliau hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda kemesraan kerana mengenali keluarganya.

Dengan tercapainya persefahaman itu, kedua-dua pihak kini memilih untuk menutup episod berkenaan dan meneruskan hubungan dalam suasana yang lebih harmoni. – WacanaKini