KANGAR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai pengerusi gabungan itu susulan perubahan landskap politik selepas Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Menurut beliau, keputusan Pas berkenaan membuka lembaran baharu dalam perjalanan PN yang kini memerlukan kepimpinan berwibawa untuk menyatukan semula kekuatan gabungan dan memperluaskan sokongan rakyat.
Afif berkata, PN memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mampu meraih sokongan penyokong tegar parti, malah menarik keyakinan golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, profesional muda serta rakyat yang mahukan kestabilan politik.
“Sejak penubuhan PN, Muhyiddin bukan sekadar pengasas, malah menjadi titik pertemuan yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.
“Dalam suasana politik yang sering dicemari persaingan pengaruh dan ego, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif serta berasaskan musyawarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu turut menegaskan bahawa kejayaan PN pada pilihan raya lalu bukan berpunca daripada kekuatan satu parti semata-mata, sebaliknya hasil gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik lama dan kelemahan kerajaan semasa.
Menurutnya, Muhyiddin mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu secara inklusif, iaitu memperkukuh kedudukan Melayu sebagai teras negara tanpa mengabaikan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukannya memecah-belahkan. Kepimpinan yang membina jambatan, bukan tembok.
“PN juga memerlukan seorang pemimpin yang mampu mengurus perbezaan dengan bijaksana dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat. Atas sebab itu, saya percaya ramai penyokong PN mahu melihat Muhyiddin kembali sebagai Pengerusi PN,” katanya.
Sebelum ini, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira pelbagai laporan, kajian dan penilaian terhadap hubungan kedua-dua parti.
Muhyiddin pula melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lalu selepas menerajui gabungan tersebut sejak Ogos 2020.
Jawatan itu kemudiannya diisi Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik sebagai Pengerusi PN pada Februari lalu. – WacanaKini
