TAMPIN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Khamis dipersoalkan apabila didakwa tidak memenuhi syarat perundangan yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Peguam kepada Undang Luak Jelebu, Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pembubaran tersebut tidak sah kerana selain memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, ia juga perlu mendapat persetujuan Undang Yang Empat atau majoriti anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Menurut beliau, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Johol tidak pernah dirujuk atau dihubungi berhubung cadangan pembubaran DUN berkenaan.
“Saya mengesahkan bahawa Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Johol tidak dihubungi langsung mengenai perkara ini.
“Justeru, keabsahan pembubaran tersebut boleh dipertikaikan dan saya sahkan pengumuman yang dibuat malam tadi tidak mendapat perkenan Datuk-Datuk Undang,” katanya ketika ditemui di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pada Jumaat.
Khairul Azam berkata, pihaknya telah menjangka perkembangan tersebut dan sedang mempertimbangkan beberapa tindakan susulan bagi mencabar kesahihan pembubaran berkenaan.
Beliau memaklumkan antara langkah yang akan diambil adalah mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan bahawa pembubaran itu didakwa tidak memperoleh perkenan pihak berkuasa adat yang berkaitan.
Pada Khamis, Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan selepas menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap.
Menurut Menteri Besar itu, pembubaran dibuat selaras dengan peruntukan UUTKNS 1959 dan notis rasmi akan dihantar kepada SPR bagi membolehkan proses penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dilaksanakan. – WacanaKini
