KUALA LUMPUR – Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan-kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan (MAPSU) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada graduan kejururawatan tempatan dalam pengisian jawatan sektor kesihatan sebelum mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara.
Presidennya, Ajulahin Japin berkata, cadangan memperluaskan penempatan jururawat dari Indonesia perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak menjejaskan peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya tenaga kejururawatan tempatan.
Menurut beliau, masih ramai graduan kejururawatan tempatan yang sedang menunggu peluang pekerjaan sama ada secara tetap mahupun kontrak dalam sektor kesihatan.
“Keutamaan sewajarnya diberikan kepada rakyat Malaysia untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada sebelum kerajaan mempertimbangkan pengambilan tenaga kerja asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, isu kekurangan jururawat yang sering dibangkitkan tidak semestinya berpunca daripada kekurangan tenaga tempatan, sebaliknya perlu dilihat secara lebih menyeluruh termasuk dari aspek jumlah jawatan yang diluluskan, kadar pengisian jawatan sedia ada serta peluang penyerapan graduan baharu.
Selain itu, usaha mengekalkan jururawat berpengalaman dalam perkhidmatan awam juga perlu diberi perhatian bagi memastikan sistem kesihatan negara terus mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan berkualiti.
Bagaimanapun, MAPSU tidak menolak keperluan mendapatkan kepakaran luar negara dalam bidang tertentu sekiranya terdapat keperluan khusus.
Menurut Ajulahin, langkah itu perlu dilaksanakan secara terhad, bersasar dan berdasarkan penilaian keperluan tenaga kerja yang jelas tanpa menjejaskan prospek kerjaya jururawat tempatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sesi libat urus bersama kesatuan-kesatuan yang mewakili jururawat sebelum sebarang keputusan dasar berkaitan pengambilan tenaga asing dibuat.
“Pandangan wakil pekerja perlu diberi perhatian bagi memastikan dasar yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan sistem kesihatan negara tanpa mengabaikan kepentingan tenaga kerja tempatan,” katanya.
MAPSU turut menegaskan bahawa setiap peluang pekerjaan yang diwujudkan perlu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, khususnya graduan kejururawatan tempatan yang telah dilatih menggunakan sumber dan dana negara. – WacanaKini
