Politik Utama

AGC klasifikasi aduan ugutan jenayah terhadap Azam Baki sebagai NFA

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadap aduan ugutan jenayah yang dibuat ahli perniagaan, Albert Tei atau Tei Jiann Cheing, terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

AGC dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti secara menyeluruh kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan berkenaan.

Menurut AGC, hasil penelitian mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan.

“Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM berhubung aduan Tei Jiann Cheing terhadap Tan Sri Azam Baki.

“Hasil penelitian menyeluruh mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan. Sehubungan itu, kertas siasatan tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Jiann Cheing membuat laporan polis pada 13 Mei lalu yang mendakwa berlaku ugutan jenayah melibatkan peguam mewakili Azam.

Beliau turut mendakwa menjadi mangsa ugutan dan tekanan ketika cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah yang dikatakan membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.

Pada 3 Jun lalu, Azam hadir memberi keterangan kepada penyiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap Jiann Cheing di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lalu, menuntut ganti rugi serta perintah injunksi berhubung beberapa kenyataan yang didakwa diterbitkan menerusi platform podcast, YouTube Shorts dan media dalam talian lain.

Kes berkenaan sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – WacanaKini