KANGAR – Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengekalkan khidmat Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih pasukan selepas pengendali berpengalaman itu berjaya membawa pasukan mencatat prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu.
Dalam kenyataan pada Khamis, KRW FC memaklumkan keputusan tersebut dibuat bagi memastikan kesinambungan perancangan pasukan selain memberi ruang kepada Irfan Bakti membentuk skuad lebih mantap untuk menghadapi cabaran musim akan datang.
Menurut kelab itu, pengalaman luas dan kepakaran dimiliki jurulatih berusia 75 tahun berkenaan diyakini mampu membantu KRW FC melangkah lebih jauh serta meningkatkan daya saing pasukan di peringkat lebih tinggi.
“Kami yakin kemampuan dan pengalaman beliau dapat membawa KRW FC mencapai prestasi yang lebih baik pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Musim lalu, KRW FC menamatkan saingan Liga A1 Semi Pro di tangga keempat daripada 13 pasukan yang bertanding, sekali gus mencatat antara pencapaian terbaik kelab tersebut dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Prestasi konsisten itu turut membuka peluang kepada KRW FC untuk bersaing di Liga Super, tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan syarat pelesenan yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). – WacanaKini
