Jenayah Utama

J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei, dakwa ganggu operasi kementerian

PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) membuat laporan polis terhadap aktivis dan ahli perniagaan, Albert Tei, susulan dakwaan mengganggu operasi Kementerian Komunikasi menerusi beberapa siri perhimpunan yang diadakan sejak bulan lalu.

Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, tindakan itu diambil selepas individu berkenaan didakwa empat kali mengadakan perhimpunan di hadapan Menara Komunikasi sehingga menjejaskan kelancaran tugas penjawat awam di kementerian tersebut.

Menurut beliau, perhimpunan yang diadakan di kawasan berkenaan memberi kesan negatif terhadap suasana kerja serta operasi harian melibatkan ribuan kakitangan kerajaan.

“Laporan polis dibuat kerana beliau telah beberapa kali berhimpun di hadapan Menara Komunikasi. Tindakan tersebut memberi isyarat yang tidak baik dan berpotensi mengganggu tugas penjawat awam yang bertugas di situ,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata, laporan berkenaan dibuat berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 berhubung dakwaan menghina penjawat awam.

Selain itu, J-KOM turut akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dakwaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian komunikasi bagi tujuan gangguan dan provokasi.

Katanya, laporan kepada MCMC akan melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

“Tindakan ini bertujuan membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil. Jika terdapat kesalahan, tindakan sewajarnya boleh diambil, dan jika sebaliknya, biarlah hasil siasatan menentukan,” katanya.

Sebelum ini, Albert Tei bersama beberapa pencipta kandungan mengadakan bantahan duduk di lobi Kementerian Komunikasi sebagai protes terhadap dakwaan sekatan ke atas akaun TikTok miliknya.

Kumpulan tersebut mendakwa tindakan yang dikenakan terhadap akaun berkenaan tidak adil dan menuntut penjelasan daripada pihak berkaitan.

Mengulas perkara itu, Mohd Hisyamuddin berkata setiap platform media sosial mempunyai dasar, garis panduan dan mekanisme penguatkuasaan tersendiri yang perlu dipatuhi oleh pengguna.

“Sekiranya sesuatu akaun dikenakan tindakan oleh platform, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu dan tidak wajar terus meletakkan kesalahan kepada kementerian atau MCMC tanpa siasatan yang jelas,” katanya. – WacanaKini