PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan isu bangunan empat tingkat yang didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat tidak berada di bawah skop pengurusan strata.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkara itu telah dijelaskan sebelum ini dan pengurusan serta tindakan lanjut berkaitan struktur berkenaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang berkaitan.
“Isu tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pengurusan strata. Penjelasan mengenainya telah diberikan sebelum ini dan saya percaya kerajaan negeri serta agensi berkaitan akan menguruskannya mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Strata 2026: Ke Arah Pengurusan Strata Kelas Pertama yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Putrajaya pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah memaklumkan KPKT sedang meneliti semula Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan perundangan itu terus relevan dengan perkembangan semasa sektor perumahan negara.
Menurut beliau, semakan tersebut dibuat susulan peningkatan pembangunan perumahan bertingkat yang semakin menjadi pilihan akibat pertambahan penduduk dan kekangan ruang di kawasan bandar.
Katanya, persidangan yang menghimpunkan kira-kira 130 peserta dari seluruh negara itu menjadi platform penting untuk mendapatkan pandangan serta pengalaman daripada pemain industri dan pengurus strata.
“Maklum balas yang diterima akan membantu kementerian dan Jabatan Perumahan Negara mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuhkan dalam akta sedia ada.
“Perbincangan berterusan bersama pihak berkepentingan penting bagi memastikan sebarang pindaan yang dibuat dapat memenuhi keperluan semasa serta meningkatkan keberkesanan pengurusan strata,” katanya.
Sementara itu, isu bangunan yang tular di Hulu Langat terus mendapat perhatian apabila kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan sejak 2016, termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu dan siasatan.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim turut dilaporkan berkata tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selepas beberapa siri penguatkuasaan dijalankan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran itu. – WacanaKini
