PUTRAJAYA – Satu perhimpunan awam besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Tangkap Shafie Apdal’ dijadual berlangsung di Dataran Deasoka pada 4 dan 5 Julai ini, menurut Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0.
Penasihat sekretariat itu, Zulkarnain Mahdar, berkata himpunan tersebut digerakkan oleh gabungan pertubuhan belia dan mahasiswa dari seluruh Sabah bagi menyuarakan tuntutan berkaitan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.
“Saya dimaklumkan satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan pada 4 dan 5 Julai di Sabah dengan tema ‘Tangkap Shafie Apdal’. Belia dan mahasiswa yang terlibat datang berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan dan sokongan,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai penggunaan karikatur dalam kempen himpunan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa ia merupakan tindak balas atau balas dendam terhadap pihak tertentu.
“Itu idea daripada golongan belia sendiri. Saya tidak mahu campur tangan dan tidak mahu memberikan sebarang komen sama ada ia berbentuk balas dendam atau sebaliknya. Itu urusan dan pandangan mereka,” katanya.
Zulkarnain menjelaskan kumpulan penganjur terdiri daripada pertubuhan belia dan mahasiswa yang hadir khas dari Sabah untuk mengumumkan program tersebut.
Beliau berkata pihak penganjur akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai objektif, pengisian dan perjalanan himpunan dalam masa terdekat.
“Apa yang saya boleh sahkan ialah perhimpunan besar-besaran itu akan berlangsung di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira 1,000 anak muda dari seluruh Sabah dan menjangkakan ia menjadi antara himpunan awam terbesar yang dianjurkan oleh pertubuhan belia dan mahasiswa di negeri itu tahun ini. – WacanaKini
