BANDAR SERI BEGAWAN – Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik ASEAN untuk mencari penyelesaian terhadap isu jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan beberapa kawasan di rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, platform ASEAN dilihat sebagai mekanisme paling sesuai dan berkesan untuk membincangkan serta menangani isu yang membabitkan negara-negara anggota.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN dalam masa terdekat bagi membangkitkan isu berkenaan.
Pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dijangka menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia menerusi surat rasmi.
“Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup juga akan menulis surat kepada rakan sejawat beliau di Indonesia.
“Kami percaya ASEAN menjadi mekanisme terbaik untuk mengatasi isu serta masalah antara negara ASEAN dan kami lihat ia lebih berkesan untuk Sekretariat mengurus situasi ini,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini hari ini.
Mohamad kini dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Brunei bermula semalam bersempena Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei pada 21 Ogos serta Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 Malaysia-Brunei (ALC-27) yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos.
Semalam, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan berkata, isu jerebu yang melanda beberapa kawasan di rantau ini turut dijangka menjadi antara agenda perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena ALC-27.
Menurut beliau, isu berkenaan mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua negara ketika ini.
Sementara itu, keadaan kualiti udara di Sarawak terus membimbangkan apabila data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan kawasan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 217 setakat jam 4 petang, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
Sembilan lagi kawasan di negeri itu turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, melibatkan Sri Aman (186), Sarikei (173), Kuching (171), Samarahan (170), Sibu dan Samalaju (156), Bintulu (153), Mukah (125) serta Kapit (108). – WacanaKini
