KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian di media sosial selepas membalas jemputan seorang murid untuk menghadiri program Hari Usahawan Cilik di Al Sakeenah Learning Centre, Subang Jaya.
Menerusi ruangan komen di aplikasi Threads, Anwar memaklumkan beliau berhasrat untuk memenuhi jemputan berkenaan, namun mempunyai urusan rasmi di Brunei pada Sabtu.
“Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu saya di Brunei,” katanya.
Dalam respons yang turut mencuit hati, Perdana Menteri mendoakan agar program berkenaan berjalan lancar selain menitipkan pesanan kepada murid terbabit supaya tidak membeli terlalu banyak makanan ringan.
“Saya doakan Hari Kantin taska berjalan lancar. Jangan beli jajan banyak sangat,” tulis beliau.
Terdahulu, seorang guru pusat pendidikan berkenaan menerusi akaun Threads, @Aqilkmzmn, berkongsi mesej daripada seorang murid yang berhasrat mengundang Anwar ke program Hari Usahawan Cilik.
Menurut guru itu, murid berkenaan bertanya sama ada Perdana Menteri boleh dijemput ke program tersebut dan pihaknya secara berseloroh menawarkan ganjaran 100 markah dalam aplikasi ClassDojo sekiranya berjaya membawa Anwar hadir.
“Minggu lepas salah seorang murid kami tanya boleh ke ajak PMX datang Hari Usahawan Cilik.
“Kita pun cakap kalau awak berjaya buat PMX datang, abi bagi awak 100 markah on ClassDojo sebagai penghargaan,” katanya.
Lebih mencuit hati, murid itu difahamkan merujuk Perdana Menteri sebagai ‘Uncle Anwar’ ketika menyampaikan jemputan berkenaan.
Perkongsian dan respons Anwar itu pantas menarik perhatian pengguna media sosial, khususnya kerana cara santai Perdana Menteri melayan jemputan daripada murid terbabit. – WacanaKini
