LIMA – Sekurang-kurangnya dua individu cedera manakala puluhan rumah serta beberapa kemudahan awam rosak selepas gempa bumi bermagnitud 6.7 melanda kawasan Andes di selatan Peru, petang Khamis.
Gempa yang berlaku kira-kira 1 petang waktu tempatan itu berpusat 38 kilometer barat laut Upahuacho, wilayah Ayacucho, pada kedalaman kira-kira 66 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Institut Geofizik Peru (IGP) pada awalnya merekodkan gempa berkenaan pada magnitud 7.2 sebelum bacaan tersebut disemak semula kepada 6.7.
Gegaran dirasai di beberapa wilayah termasuk Ayacucho, Ica, Arequipa, Huancavelica, Apurimac dan Cusco, selain turut dirasai penduduk di Lima.
Pihak berkuasa memaklumkan dua individu mengalami kecederaan ketika proses pemindahan penduduk di Coracora.
Dalam pada itu, sebanyak 22 rumah, enam pusat kesihatan dan sebuah sekolah dilaporkan mengalami kerosakan di beberapa kawasan termasuk Puquio, Pullo, Coracora, Upahuacho dan Pichari.
Gempa turut mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di sekitar Coracora, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan pemantauan di kawasan terjejas.
Ketua IGP, Hernando Tavera berkata, kedalaman pusat gempa membantu mengurangkan kesan gegaran di permukaan dan mengehadkan tahap kerosakan yang berlaku.
Sementara itu, Tentera Laut Peru mengesahkan gempa berkenaan tidak mencetuskan ancaman tsunami.
Pihak berkuasa kini meneruskan penilaian di kawasan terjejas bagi mengenal pasti kemungkinan kerosakan tambahan serta memastikan keselamatan penduduk.
Peru merupakan antara negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan seismik aktif yang menyaksikan kejadian gempa bumi dengan kerap. – WacanaKini
