Politik Utama

UPKO mohon sertai GRS, perkukuh kerjasama parti tempatan Sabah

KANGAR – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai usaha memperkukuh kerjasama politik tempatan di negeri itu.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, permohonan tersebut disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dalam satu pertemuan hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selaras dengan mandat Majlis Tertinggi UPKO yang bermesyuarat pada 25 Mei lalu dan sebulat suara bersetuju untuk menyertai gabungan berkenaan.

“UPKO mahu memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan parti-parti tempatan Sabah demi pembangunan negeri serta memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas keterbukaan menerima hasrat penyertaan UPKO ke dalam GRS.

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu, UPKO mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam PRN tersebut, UPKO memenangi tiga daripada 25 kerusi yang ditandingi sebelum menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Ewon kini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam Kabinet negeri. – WacanaKini