Mahkamah Utama

Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, pasang dengan tertib – MKN Kelantan

BACHOK – Masyarakat diingatkan supaya tidak memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau dalam keadaan tidak sempurna kerana bendera kebangsaan itu merupakan simbol maruah dan kedaulatan negara.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Abd Aziz berkata, tatacara pengibaran Jalur Gemilang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan penghormatan terhadap simbol negara.

Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran mengenai perkara itu perlu dilaksanakan secara berterusan, khususnya sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

“Bendera ini bukan satu perkara yang boleh dianggap kecil, ia berkait dengan integriti sesebuah negara dan menjadi lambang kedaulatan.

“Jika memasang Jalur Gemilang, pastikan pemasangannya dibuat dengan betul dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Merdeka Komuniti Madani Tawang di Pantai Irama, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, MKN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah turut turun padang bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta memberi penerangan mengenai tatacara pengibaran bendera.

Katanya, kira-kira 500 Jalur Gemilang turut diedarkan kepada komuniti setempat termasuk peniaga, pengguna kenderaan dan orang ramai menerusi program berkenaan.

“Kami juga menggunakan platform media sosial termasuk TikTok bagi menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan perkara ini.

“Dalam tempoh ini kami tidak menerima kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pemantauan terhadap pemasangan Jalur Gemilang dipertingkatkan di seluruh daerah itu sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Menurutnya, rondaan anggota di empat kawasan balai polis turut mengambil kira keadaan bendera yang dipasang di premis kerajaan, swasta, bangunan serta sepanjang jalan.

“Anggota rondaan diarahkan supaya turut memerhatikan keadaan bendera yang dipasang di bangunan kerajaan, premis swasta dan sepanjang jalan,” katanya.

Beliau berkata, individu atau premis yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau tidak mengikut tatacara ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan.

Antara peruntukan yang boleh digunakan ialah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, bergantung kepada bentuk kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Ismail berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak aktiviti konvoi dianjurkan sempena Bulan Kebangsaan dan mengingatkan penganjur serta peserta supaya mematuhi aspek keselamatan serta peraturan ditetapkan.

“Penganjur bertanggungjawab memastikan keselamatan peserta dan pengguna jalan raya diberi keutamaan selain memastikan peserta mempunyai lesen memandu serta perlindungan insurans yang diperlukan.

“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya. – WacanaKini