KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah Melaka menjatuhkan hukuman denda terhadap dua individu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram antara bukan pasangan yang sah di sisi syarak.
Siti Iqbar Mazlan, 35, dan Hairul Mokhsin Zaini, 24, masing-masing dikenakan denda RM4,500 dan RM5,000 oleh Hakim Abu Bakar Daud. Kedua-duanya turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Dalam prosiding di Ayer Keroh hari ini, Siti Iqbar merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga serta menyatakan kekesalan terhadap perbuatan tersebut.
“Saya mohon maaf… saya menyesal dan tidak lagi berhubung… saya mohon hukuman tidak dipenjarakan kerana mempunyai dua anak,” katanya dalam rayuan di mahkamah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam antara jam 2 pagi dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lalu, mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, dibantu Radzwan Abdullah.
Menurut fakta kes, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima aduan awam sebelum siasatan dijalankan yang membawa kepada pengakuan tertuduh berkaitan perlakuan berkenaan. – WacanaKini
