KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Ismail Bakar akan bersara sebagai Pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berkuat kuasa 22 Ogos 2026 selepas enam tahun berkhidmat dalam Lembaga Pengarah institusi perbankan Islam itu.
Ismail menyertai Lembaga Pengarah Bank Islam pada 2019 sebelum dilantik sebagai Pengerusi pada Ogos 2020.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan dalam memperkukuh tadbir urus korporat, hala tuju strategik serta agenda transformasi Kumpulan, selain menyokong usaha mencipta nilai mampan untuk pihak berkepentingan.
Bank Islam dalam kenyataan berkata, Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan atas sumbangan dan komitmen Ismail sepanjang menerajui lembaga berkenaan.
Bagi memastikan kesinambungan pengawasan dan kelancaran operasi di peringkat Lembaga Pengarah, Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif (SINED), Mohd Yuzaidi Mohd Yusoff akan terus menjalankan peranannya sebagai SINED, termasuk mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah.
Peranan itu berkuat kuasa pada 22 Ogos ini sehingga pelantikan Pengerusi baharu.
Mohd Yuzaidi telah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bank Islam sejak Julai 2019 dan kini turut mempengerusikan Jawatankuasa Risiko serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, kepimpinan Ismail banyak menyumbang kepada pengukuhan asas tadbir urus serta hala tuju strategik institusi berkenaan.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja Bank Islam, saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar atas kebijaksanaan, kepimpinan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas tadbir urus Kumpulan, memperteguh hala tuju strategik serta meningkatkan keupayaan institusi Bank Islam,” katanya.
Beliau berkata, Bank Islam akan memastikan proses peralihan kepimpinan berlangsung secara teratur dengan fungsi Lembaga Pengarah terus dilaksanakan sepenuhnya sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, Bank Islam kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda strategik, penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan komuniti serta usaha mencipta nilai mampan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan.
“Dengan bimbingan berterusan Lembaga Pengarah di bawah kepimpinan Mohd Yuzaidi serta kekuatan barisan pengurusan yang berpengalaman, kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda strategik Kumpulan,” katanya. – WacanaKini
