KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-20 bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, hari ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, penyanyi tersohor negara itu menitipkan doa agar ikatan rumah tangga yang dibina sejak 21 Ogos 2006 terus diberkati dan berkekalan hingga ke syurga.
“21 Ogos 2006 – 21 Ogos 2026. Alhamdulillah, 20 tahun yang penuh cabaran. Semoga Allah SWT berkati sampai Jannah,” tulisnya.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, ketika Siti berusia 27 tahun, manakala Khalid berusia 47 tahun.
Perkahwinan mereka yang mempunyai perbezaan usia 20 tahun itu mendapat perhatian meluas dan pernah digelar sebagai ‘Wedding of the Year’.
Majlis bersejarah itu turut mencuri perhatian di peringkat antarabangsa apabila disenaraikan antara ‘Asia’s Most High-Profile Weddings’ oleh portal berita kewangan antarabangsa, CNBC.
Selepas lebih sedekad mendirikan rumah tangga, pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah, menerusi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada 2018.
Empat tahun kemudian, Siti selamat melahirkan anak kedua mereka, Muhammad Afwa, pada Ogos 2020, juga menerusi kaedah IVF.
Kini, genap dua dekad melayari bahtera perkahwinan, perkongsian Siti itu mencerminkan rasa syukur atas perjalanan rumah tangga yang ditempuhi bersama suami, termasuk segala cabaran dan nikmat sepanjang 20 tahun bersama.
