KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan pembukaan Muzium Tekstil Merdeka (MTM) di Presint Merdeka 118, di sini hari ini, yang menampilkan khazanah tekstil Alam Melayu menerusi pendekatan pameran berteraskan budaya dan teknologi interaktif.
Terletak bersebelahan Stadium Merdeka, MTM memberi tumpuan kepada usaha memelihara, mengkaji dan memperkenalkan warisan tekstil Alam Melayu kepada masyarakat menerusi penceritaan serta pengalaman budaya yang lebih mendalam.
Mengangkat tema The Malay World in Threads and Tales, muzium berkenaan menampilkan lapan galeri bertema yang mengupas perkembangan tekstil Alam Melayu daripada sudut budaya, seni pertukangan, simbolisme, kerohanian, politik dan kesusasteraan.
Pameran itu menggabungkan koleksi artifak asli dengan teknologi pengalaman serta elemen multisensori bagi mewujudkan pengalaman kunjungan yang lebih interaktif.
Antara koleksi utama yang dipamerkan ialah koleksi peribadi Allahyarham Azah Aziz, tokoh budaya yang sepanjang hayatnya aktif memelihara dan memperkenalkan tradisi tekstil serta warisan seni Malaysia.
Koleksi yang disumbangkan keluarga Azah kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu merangkumi 240 pakaian dan 69 barangan kemas tradisional termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, setiap artifak yang dipamerkan bukan sekadar bahan warisan, sebaliknya membawa kisah serta nilai yang mencerminkan identiti masyarakat yang menghasilkannya.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warisan ini terus wujud dan kekal bermakna,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Tekstil Merdeka hari ini.
Menurutnya, kewujudan MTM bukan sahaja bertujuan memelihara warisan tekstil Alam Melayu, malah menjadi wadah untuk memperluas pengetahuan, penghayatan dan pemahaman masyarakat terhadap khazanah budaya tersebut.
Turut hadir Pengerusi Pengasas serta Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor Asia School of Business, Tan Sri Zeti Ungku Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
MTM akan dibuka kepada orang ramai mulai 22 Ogos 2026 menerusi kunjungan berjadual, dengan kemasukan percuma sehingga akhir September.
