MELAKA – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa Hospital Segamat terus beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan perkhidmatan berlaku meskipun fasiliti itu berdepan peningkatan jumlah pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan tersebut sedang ditangani menerusi pendekatan Cluster Crisis Management bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terjejas serta kebajikan pesakit terus terpelihara.
Menurut beliau, pesakit yang sedang menerima rawatan di wad akan terus dirawat di hospital berkenaan, manakala sebahagian pesakit luar boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi mengurangkan kesesakan.
“Langkah ini diambil untuk melancarkan operasi dan menguruskan kapasiti pesakit dengan lebih berkesan.
“Yang penting, tiada pemberhentian perkhidmatan dan tiada penutupan hospital. Perkhidmatan kesihatan tidak boleh dikompromi,” katanya pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat KKM di AEON Bandaraya Melaka pada Jumaat.
Turut hadir Exco Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem serta Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Mengulas dakwaan peningkatan pesakit berpunca daripada Hospital Segamat menjadi pusat rujukan bagi pesakit dari negeri jiran, Dzulkefly menafikan perkara itu dan menjelaskan lonjakan pesakit yang berlaku dari semasa ke semasa merupakan situasi biasa yang boleh ditangani melalui mekanisme pengurusan krisis sedia ada.
Beliau turut menjelaskan isu kekurangan tenaga kerja di hospital berkenaan diuruskan menerusi pendekatan yang sama, termasuk penyelarasan sumber manusia antara fasiliti kesihatan di kawasan berhampiran.
“Apabila pesakit luar dirujuk ke fasiliti lain, sokongan tenaga kerja juga disusun mengikut keperluan.
“Mereka memberikan rawatan di fasiliti masing-masing seperti klinik kesihatan dan hospital lain. Itulah pendekatan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Hospital Segamat akan ditutup bermula 1 Julai depan.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, hospital itu kekal beroperasi dan tiada sebarang keputusan untuk menutup perkhidmatannya.
Beliau bagaimanapun mengesahkan JKNJ sedang meneliti pengaturan semula perkhidmatan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Segamat susulan surat berkaitan penangguhan rujukan kes yang turut tular baru-baru ini.
Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat terus berjalan secara berkesan dan berterusan. – WacanaKini
