Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27), yang menjadi platform tertinggi kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala.
Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau bersama delegasi Malaysia kini dalam perjalanan ke Brunei bagi lawatan berkenaan.
Turut mengiringi beliau ialah isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
“Mohon doa teman-teman agar segala urusan dipermudah, Insya-Allah,” menurut hantaran itu.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sepanjang lawatan tersebut.
Isu jerebu yang melanda beberapa kawasan di rantau ini, termasuk Kalimantan, dijangka antara perkara yang akan dibincangkan selain isu semasa yang mempunyai kepentingan bersama.
Dalam lawatan itu, Malaysia dan Brunei turut dijadual memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pengurusan bencana.
MoU berkenaan akan ditandatangani menteri berkaitan dari kedua-dua negara dengan disaksikan Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah.
ALC merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi Malaysia-Brunei yang menjadi wadah bagi kedua-dua pemimpin menilai perkembangan hubungan dan kerjasama antara negara, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. – WacanaKini
